Sorting by

×

GULA-GULA DISYAKI MENGANDUNGI GANJA PUNCA KANAK-KANAK 3 TAHUN POSITIF DADAH

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 23 April – Pengambilan gula-gula yang disyaki mengandungi dadah dipercayai menjadi punca seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang sebelum ini dilaporkan positif Tetrahydrocannabinol (THC).

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan gula-gula tersebut dipercayai milik seorang pempengaruh media sosial yang sebelum ini telah ditahan pada 15 April lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut beliau, gula-gula itu dibeli oleh suspek berusia 39 tahun yang tinggal bersama ibunya, juga merupakan pengasuh kepada kanak-kanak terbabit.

“Siasatan mendapati suspek mendakwa membeli gula-gula tersebut dari negara jiran sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk rumah ibunya.

“Bagaimanapun, tanpa disedari, kanak-kanak berkenaan yang gemar memakan gula-gula telah mengambil dan memakannya sebelum mangsa tidak sedarkan diri walaupun telah beberapa kali dikejutkan dan kemudiannya dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan di rumah suspek bagaimanapun tidak menemukan gula-gula berkenaan semasa serbuan dilakukan.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak berkenaan dikejarkan ke Hospital Melaka 14 April lalu dalam keadaan separuh sedar sebelum disahkan positif dadah jenis THC.

Dzulkhairi berkata, tempoh reman suspek disambung lima hari lagi bermula semalam hingga 27 April ini selepas tempoh reman tujuh hari tamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

556
Kongsi :
Previous post KUCING BAKA ‘MAINE COON’ HADIAH CABUTAN BERTUAH PENUTUP WRUR MACHAP JAYA
Next post DARI SURAM JADI ‘INSTAWORTHY’, BANDAR JASIN KINI BERSERI-SERI