Sorting by

×

KUCING BAKA ‘MAINE COON’ HADIAH CABUTAN BERTUAH PENUTUP WRUR MACHAP JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MACHAP JAYA 23 April – Kucing baka Maine Coon, seekor lembu dan dua kambing menanti pengunjung bertuah yang hadir ke Majlis Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Machap Barum jam 8 malam, 25 April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, antara hadiah besar lain menunggu pengunjung adalah masing-masing dua unit motosikal dan dua motosikal elektrik.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 200 cabutan disediakan termasuk hadiah dalam bentuk barangan elektrik buat pengunjung yang bertuah.

“Kita juga menjemput penyanyi Datuk Hattan untuk menghiburkan tetamu yang hadir pada malam berkenaan dengan perasmian penutup disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) Sempena WRUR DUN Machap Jaya yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan Lesong Batu, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, setakat ini hampir 30 peratus daripada keseluruhan aduan diterima sepanjang WRUR Machap Jaya sudah diselesaikan.

Katanya, sementara itu baki 70 peratus lagi isu dibangkitkan memerlukan tindakan lanjut daripada agensi atau jabatan berkenaan untuk diselesaikan.

“Namun secara keseluruhannya, isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk di DUN dapat kita tangani cuma yang membezakannya cepat atau lambat, usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan komuniti Machap Jaya terus terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Kongsi :
Previous post HAS2026: PENGUNJUNG TAK PERLU BIMBANG SOAL PARKIR
Next post GULA-GULA DISYAKI MENGANDUNGI GANJA PUNCA KANAK-KANAK 3 TAHUN POSITIF DADAH