Sorting by

×

PASTIKAN PRN MELAKA DILAKSANAKAN DENGAN LANCAR, TELUS DAN PROFESIONAL – TYT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 24 April – Melaka kini berada di penggal kelima yang merupakan tahun terakhir bagi Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, sehubungan itu, Melaka bakal melalui proses pilihan raya negeri sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang perlu dihormati dan dipelihara.

Justeru, beliau menyeru semua pihak agar memastikan setiap aspek persiapan termasuk urusan logistik, keselamatan dan pelaksanaan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar, telus dan profesional.

“Nilai integriti hendaklah sentiasa dijunjung tinggi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Dr. Mohd Ali turut berharap penggal terakhir Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas menjadi landasan penting dalam memperkukuh dasar, memperkemas pelaksanaan dan menilai pencapaian negeri menjelang akhir tempoh pentadbiran semasa.

“Saya berharap persidangan pada kali ini dapat berlangsung dengan lancar dan penuh tertib, selain ahli-ahli dewan dapat membahaskan setiap perkara dengan matang, berhemah dan penuh kesopanan serta kesusilaan seperti Rukun Negara yang kelima.

“Pada masa sama, persidangan ini juga diharap memberi fokus kepada aspek yang utama iaitu memberikan perkhidmatan terbaik dan cemerlang kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kepimpinan negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana telah berusaha gigih dan menzahirkan komitmen berterusan dalam memastikan Melaka teus bergerak maju dan mencatat pelbagai kejayaan membanggakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2026 PACU IMPAK NEGERI MELAKA
Next post MELAKA TERUS JADI TUMPUAN ACARA-ACARA BESAR