Sorting by

×

MELAKA TERUS JADI TUMPUAN ACARA-ACARA BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 24 April – Melaka terus menjadi tumpuan penganjuran acara-acara berskala besar sepanjang tahun ini, sekali gus membuktikan keupayaan negeri kecil ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, antara acara besar yang bakal diadakan di negeri bersejarah ini adalah Sambutan Hari Air Sedunia 2026.

Selain itu, katanya, Melaka turut menjadi lokasi penganjuran Europe World Congress 2026: ‘City Assets For Community Gains’ serta Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-273 yang dijadual diadakan pada 14 dan 15 Oktober 2026.

“Penganjuran program-program berprestij ini jelas mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan melaka sebagai destinasi utama bagi acara peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Jelas Tun Dr. Mohd Ali, keupayaan Melaka sebagai tuan rumah bukan sahaja dizahirkan sepanjang tahun ini, malah pada tahun lalu juga negeri ini telah berjaya menganjurkan majlis-majlis berimpak tinggi.

Menurut beliau, antaranya World Tourism Day dan World Tourism Conference serta Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026; The 19th Asean Ministerial Meeting On Transnational Crime (AMMTC); ASEAN-Malaysia Statistical Forum (AMSF) serta Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan persekutuan atas sokongan dan kepercayaan memilih melaka sebagai tuan rumah bagi penganjuran majlis-majlis berimpak tinggi,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

320
Kongsi :
Previous post PASTIKAN PRN MELAKA DILAKSANAKAN DENGAN LANCAR, TELUS DAN PROFESIONAL – TYT
Next post KONFLIK ASIA BARAT: MELAKA PERLU PERKUKUH DAYA TAHAN EKONOMI