Sorting by

×

DASAR PERUMAHAN MELAKA LINDUNGI KEPENTINGAN B40

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 24 April – Dasar Perumahan Negeri Melaka yang ditambah baik dan diperkasa khusus untuk melindungi golongan B40 dan ke bawah mendapat pujian Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut beliau, ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat mempunyai akses kepada kediaman yang selamat, berkualiti dan mampu dimiliki sehingga berjaya mengekalkan harga rumah terendah dalam negara.

“Kerajaan Negeri menggunakan penilaian daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan harga rumah dan premis perniagaan dengan kerjasama sektor swasta serta penentuan kuota bagi bumiputera dan bukan bumiputera.

“Saya berharap agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memantau harga dan kuota tersebut dapat melaksanakan tugas secara cekap dan sentiasa ‘up to date’ agar pembeli boleh merujuk kepada agensi berkenaan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai unit yang masih tersedia serta harga yang telah diluluskan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Tun Dr. Mohd Ali berkata, pada masa ini, maklumat perumahan dipantau oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) manakala premis perniagaan dipantau oleh Perbadanan Melaka (MCORP).

Sehubungan itu, beliau berharap kedua-dua agensi itu sentiasa mempunyai data yang terkini serta diselaraskan bersama pihak pemaju bagi memudahkan urusan dan rujukan pembeli.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

240
Kongsi :
Previous post PASTIKAN SISTEM JALAN RAYA MELAKA TERANCANG, EFISIEN
Next post MELAKA KETENGAH KEUNIKAN BANDAR WARISAN DI PENTAS ‘EAROPH’