
MELAKA KETENGAH KEUNIKAN BANDAR WARISAN DI PENTAS ‘EAROPH’
BANDARAYA MELAKA 24 April – Kongres Dunia Eastern Regional Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) Ke-30 menjadi pentas strategik untuk Melaka mengetengahkan keunikan serta kekuatan negeri ini di mata dunia.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selari dengan tema ‘City Assets for Community Gains’, kongres berprestij itu membuka ruang kepada Melaka memperlihatkan bagaimana aset bandar dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, Melaka sebagai negeri bersejarah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia sentiasa memastikan pembangunan dilaksanakan seimbang antara kemajuan ekonomi, pemeliharaan warisan dan kesejahteraan masyarakat.
“Platform ini bukan sekadar medan perbincangan, malah menjadi ruang strategik untuk memperkukuh jaringan kerjasama, berkongsi ilmu serta amalan terbaik selain membuka peluang kepada pelaburan dan inovasi baharu.
“Lebih penting, ia memberi peluang kepada Melaka untuk menonjolkan pendekatan holistik dalam mengurus bandar warisan dan membangunkan komuniti secara inklusif serta mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kongres Dunia EAROPH Ke-30 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata penyertaan Melaka dalam platform antarabangsa itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk kekal berada di barisan hadapan dalam agenda pembangunan bandar mampan.
“Kerajaan Negeri komited memastikan setiap penyertaan memberi pulangan nyata kepada rakyat. Idea, teknologi dan model pembangunan yang diperoleh akan diterjemahkan kepada dasar serta inisiatif yang mampu meningkatkan kualiti hidup.
“Kita mahu Melaka bukan sahaja dikenali sebagai negeri bersejarah tetapi sebagai contoh bandar pintar dan mampan yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


