
INISIATIF WAKAF PEMANGKIN KELESTARIAN PENDIDIKAN UNIMEL
KUALA LINGGI 8 Jun – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) tampil memperkasa agenda kelestarian pendidikan menerusi inisiatif wakaf dan endowmen sebagai sumber sokongan bagi membantu pembangunan modal insan serta memperluas akses pendidikan kepada generasi muda.
Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah berkata, pendekatan itu membuka ruang kepada masyarakat, sektor korporat dan agensi berkaitan untuk menyumbang kepada pembangunan ilmu serta masa depan ummah.
Menurutnya, apabila semua pihak berganding bahu dalam satu ekosistem yang saling menyokong, impaknya bukan sahaja membantu pelajar pada hari ini, malah mampu membentuk masa depan ummah untuk jangka panjang.
“Bersuaian dengan tema program ‘Sinergi Memperkasa Pendidikan dan Kelestarian Ummah’ ia menggambarkan kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak dalam memastikan agenda pendidikan dapat diperkasakan secara berterusan.
“Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar hari ini, pembangunan pendidikan memerlukan sumber yang mampan, sokongan yang berterusan serta penglibatan pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Wacana Endowmen UNIMEL: Sinergi Memperkasa Pendidikan dan Kelestarian Ummah, Majlis Penyerahan Komputer Wakaf serta Minggu Mesra Siswa UNIMEL Sesi 1 2026/2027 di Auditorium Ibnu Khaldun UNIMEL, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Pembangunan Institusi UNIMEL, Prof. Ts. Dr. Rohayati Mohd Isa; Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Kumpulan Gedung Penawar, Dr. Mohd Padzil Mohd Daros; Ketua Pegawai Eksekutif Infotree Sdn Bhd Adlin Masood serta Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Hairulamin Mohd Sis.
Rosli berkata, usaha dilaksanakan UNIMEL melalui inisiatif endowmen pendidikan amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana membuka ruang kepada masyarakat untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan ilmu dan masa depan generasi muda.
Katanya, konsep wakaf perlu dilihat dalam skop yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada pembinaan masjid atau tanah perkuburan semata-mata.
“Wakaf turut merangkumi pendidikan, teknologi, penyelidikan dan pembangunan modal insan. Melalui pendekatan ini, manfaat wakaf dapat diperluaskan dan dirasai oleh lebih ramai golongan yang memerlukan.
“Atas sebab itulah instrumen Islam seperti wakaf, zakat dan infaq perlu diperkasakan, institusi wakaf menjadi tonggak kepada pembangunan universiti, pusat penyelidikan, perpustakaan dan institusi ilmu yang melahirkan ramai sarjana besar dunia Islam,” katanya.
Pada majlis sama, UNIMEL turut menerima sumbangan 10 set komputer wakaf daripada Kumpulan Gedung Penawar dan Infotree Sdn. Bhd. bagi menyokong keperluan pembelajaran digital mahasiswa.
Rosli berkata, sumbangan tersebut bukan sekadar peralatan teknologi, tetapi merupakan jambatan ilmu yang akan membantu pelajar meningkatkan kompetensi digital, memperluaskan akses kepada maklumat serta memperkaya pengalaman pembelajaran mereka
“Diharap sumbangan ini akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu dan organisasi untuk turut serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan melalui konsep wakaf dan endowmen,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


