Sorting by

×

DARI BARA JADI KARYA, DUA BERADIK NYALAKAN SENI ‘WOODBURN’ BERIDENTITI MALAYSIA

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

AYER LIMAU 8 Jun – Seni ‘woodburn’ atau ukiran kayu menggunakan teknik pembakaran halus mungkin semakin asing dalam kalangan generasi muda masa kini, namun bagi dua beradik dari Melaka, warisan seni itu terus diperjuangkan agar tidak lenyap ditelan zaman.

Menggunakan pen khas dikenali sebagai ‘pyrography pen’, seni ‘woodburn’ menghasilkan corak dan imej pada permukaan kayu melalui teknik pembakaran terkawal yang memerlukan ketelitian serta kreativiti tinggi.

Bagi Siti Aminah Kasin, 39, dan adiknya, Siti Hajar Kasin, 32, minat terhadap seni itu bukan sahaja berkembang menjadi hobi, malah kini menjadi sumber pendapatan utama mereka sejak hampir empat tahun lalu.

Siti Aminah berkata, penglibatan mereka dalam bidang tersebut bermula ketika perniagaan utama keluarga dalam sektor seni simen ferro terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

WhatsApp Image 2026 06 03 at 7.59.17 PM
SITI Aminah dan Siti Hajar menunjukkan hasil karya seni ‘woodburn’ yang menjadi pendapatan mereka sekeluarga.

“Kami mempunyai perniagaan simen ferro, namun ketika PKP pergerakan amat terhad kerana tidak boleh merentas daerah dan negeri. Jadi kami mencari alternatif lain yang lebih mudah dipasarkan dan dihantar kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Daripada situ tercetus idea untuk menghasilkan karya woodburn. Pada awalnya kami mencuba secara kecil-kecilan sebelum mengambil keputusan untuk mengusahakannya secara lebih serius selepas menerima maklum balas positif daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya di Kampung Ramuan China Besar, di sini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, antara keistimewaan karya yang dihasilkan mereka adalah penerapan identiti dan budaya tempatan dalam setiap rekaan bagi membezakan hasil seni tersebut daripada karya ‘woodburn’ yang lazimnya berinspirasikan elemen Barat.

“Woodburn sebenarnya berasal dari Barat, tetapi kami cuba ‘Melayukan’ seni ini dengan mengetengahkan tema yang dekat dengan masyarakat Malaysia amnya dan Negeri Melaka khasnya.

“Antara rekaan yang sering dihasilkan ialah kereta lembu, rumah tradisional Melayu, motif batik serta pelbagai makanan tradisional yang mencerminkan identiti negara,” katanya.

WhatsApp Image 2026 06 03 at 8.19.00 PM
MENGGUNAKAN pen khas dikenali sebagai ‘pyrography pen’ untuk menghasilkan corak dan imej pada permukaan kayu melalui teknik pembakaran terkawal.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu memperkenalkan seni ‘woodburn’ kepada masyarakat tempatan, malah menjadi medium untuk mempromosikan warisan dan budaya Malaysia kepada khalayak lebih luas.

Siti Aminah percaya seni woodburn mempunyai potensi besar untuk berkembang dan mendapat tempat di peringkat antarabangsa sekiranya diberikan pendedahan yang lebih meluas.

“Kami meletakkan harapan tinggi agar seni ini dapat diperkenalkan ke seluruh dunia. Walaupun asal-usulnya dari Barat, kami mahu setiap karya yang dihasilkan membawa identiti Malaysia.

“Usaha ‘memelayukan’ seni pyrography ini adalah cara kami memperkenalkan budaya tempatan kepada masyarakat luar melalui medium seni,” katanya.

Tambahnya, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan seni dan kraftangan amat penting bagi memastikan seni woodburn terus berkembang serta menarik minat lebih ramai generasi muda untuk mempelajarinya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post MELAKA RIVER CRUISE HIDUPKAN SEMULA KENANGAN 10 TAHUN LALU
Next post INISIATIF WAKAF PEMANGKIN KELESTARIAN PENDIDIKAN UNIMEL