Sorting by

×

KUBUR DIGITAL LAMBANG KEBERANIAN MELAKA TEROKA TEKNOLOGI

Masa Membaca:59 Saat

SERI NEGERI 24 April – Pengenalan inisiatif Kubur Digital yang memudahkan waris mengesan lokasi pusara ahli keluarga dengan lebih teratur dan efisien wajar dipuji.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, ia secara tidak langsung melambangkan keberanian Kerajaan Negeri dalam meneroka pendekatan baharu melalui pengurusan tanah perkuburan secara digital.

“Selain daripada inisiatif Kampung Digital yang memodenkan dan menstrukturkan semula sistem alamat kediaman di kawasan kampung, saya turut menghargai inisiatif Kubur Digital ini.

“Ia mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda teknologi dan pendigitalan sebagai pemacu utama pembangunan negeri.

“Usaha ini selaras dengan keperluan semasa yang menuntut perkhidmatan yang lebih pantas, cekap dan berdaya saing dalam era ekonomi digital,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Tun Dr. Mohd Ali juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah di atas kejayaan Melaka merekodkan pencapaian tertinggi dalam Malaysia Techlympic 2025 dengan 509,000 penyertaan.

Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan tahap kesedaran serta penglibatan masyarakat, khususnya generasi muda dalam bidang teknologi dan inovasi yang semakin memberangsangkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post MELAKA KETENGAH KEUNIKAN BANDAR WARISAN DI PENTAS ‘EAROPH’
Next post TUN DR. MOHD ALI SERU PENIAGA TIDAK AMBIL KESEMPATAN