Sorting by

×

WRUR KESIDANG AKHIRI PENANTIAN 6 DEKAD PENDUDUK JALAN KERETAPI LAMA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KESIDANG 8 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menjadi titik noktah kepada penantian 60 tahun penduduk di Jalan Keretapi Lama, Kampung Batu Berendam untuk mendapatkan surat kelulusan permohonan tanah kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, usaha itu sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu isu pemilikan tanah oleh rakyat yang sebelum ini berdepan ketidakpastian mengenai status tanah yang didiami.

Jelas beliau, untuk permulaan, seramai sembilan keluarga telah menerima surat kelulusan permohonan tanah tersebut.

“Penduduk yang menerima hak milik ini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India yang telah sekian lama membina kehidupan mereka di kawasan berkenaan.

“Mereka tinggal di kawasan itu lebih 60 tahun dan hasrat terbesar mereka adalah untuk memiliki tanah serta rumah yang didiami secara sah. Sebelum ini mereka sentiasa bimbang dengan kemungkinan dihalau atau kehilangan tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang Kota Melaka: Kampung Kita di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Allex berkata, masih terdapat kira-kira 80 lagi penduduk yang masih menanti kelulusan permohonan tanah di kawasan itu memandangkan ia terletak di bawah tanah Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ujarnya, Kerajaan Negeri akan meneliti kaedah dan mekanisme terbaik bagi membantu mereka yang layak bagi memastikan isu pemilikan tanah itu dapat diselesaikan secara berperingkat demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

496
Kongsi :
Previous post PEMBINAAN BLOK WANITA DAN KANAK-KANAK HOSPITAL MELAKA DISEGERAKAN – KKM
Next post ‘VIEW MAHAL’ MENARA TAMING SARI MEMANG BERBALOI