Sorting by

×

‘VIEW MAHAL’ MENARA TAMING SARI MEMANG BERBALOI

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Peluang menikmati panorama malam Bandaraya Melaka dari aras lebih 80 meter menjadi antara tarikan utama yang mendorong orang ramai membanjiri Menara Taming Sari sempena Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun, pada Sabtu.

Tawaran tiket pada harga istimewa RM10 sahaja sempena program itu bukan sahaja menarik kehadiran pelancong dari luar Melaka, malah turut dimanfaatkan penduduk tempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil menikmati keindahan pemandangan bandar bersejarah itu pada waktu malam.

Bagi pengunjung dari Johor Bahru, Amir Afham, 25, kunjungannya ke Melaka bersama keluarga dianggap tidak lengkap tanpa singgah ke Menara Taming Sari yang disifatkannya sebagai antara ikon pelancongan wajib dikunjungi di negeri ini.

Menurutnya, promosi yang ditawarkan menerusi Program Melaka Bila Larut Malam memberi peluang kepada seluruh ahli keluarganya menikmati pengalaman tersebut pada harga yang lebih berpatutan.

“Cuti sekolah kali ini kami ambil peluang bercuti di Melaka kerana negeri ini mempunyai pelbagai tarikan dalam satu destinasi. Boleh dikatakan hampir semua yang dicari pelancong ada di sini.

“Walaupun ini bukan kali pertama saya menaiki Menara Taming Sari, perasaannya tetap sama. Setiap kali naik, rasa teruja melihat panorama bandar yang diterangi cahaya lampu berwarna-warni. Pemandangannya memang cantik dan berbeza pada waktu malam.

“Apabila mengetahui ada Program Melaka Bila Larut Malam, kami terus merancang untuk datang kerana suasananya lebih meriah dan memberi pengalaman yang lebih menyeronokkan untuk seisi keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Hafizzudin Khairuddin, 35, dari Sungai Petai, Alor Gajah pula memanfaatkan hari-hari terakhir cuti sekolah untuk membawa isteri dan anaknya menikmati masa berkualiti di Menara Taming Sari.

Menurutnya, keindahan lampu-lampu yang menghiasi bandar dari ketinggian memberikan pengalaman yang jauh berbeza berbanding kunjungan pada waktu siang.

“Walaupun saya anak Melaka dan pernah beberapa kali datang ke sini, pengalaman menaiki Menara Taming Sari tetap menyeronokkan.

“Lebih-lebih lagi apabila dapat meluangkan masa bersama keluarga sambil menikmati pemandangan bandar dari sudut yang berbeza. Program seperti ini juga memberi peluang kepada rakyat Melaka menikmati produk pelancongan negeri pada harga yang lebih mampu milik,” katanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati Menara Taming Sari menjadi antara lokasi paling mendapat perhatian sepanjang Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun apabila orang ramai mula beratur seawal jam 10 malam bagi mendapatkan tiket promosi untuk menaiki menara berputar itu.

Malah, kehadiran pengunjung dilihat semakin meningkat menjelang tengah malam dengan kebanyakan mereka sanggup menunggu giliran demi menikmati pengalaman menyaksikan panorama malam Melaka dari udara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post WRUR KESIDANG AKHIRI PENANTIAN 6 DEKAD PENDUDUK JALAN KERETAPI LAMA
Next post POLIS BURU LELAKI CURI BEG JEMAAH WANITA KETIKA SOLAT