
NEK PEAH KONGSI KISAH HIDUP 102 TAHUN
ASAHAN 8 Mei – Meskipun sudah menginjak usia 102 tahun, warga emas tertua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Peah Md Amin masih ingat tentang kesusahan hidup yang dilalui ketika hidup di era penjajahan Jepun.
Dilahirkan pada 9 Ogos 1924 warga emas yang telah melangkaui usia satu abad itu berkata, ketika itu, selain barangan peribadi penduduk dirampas, mereka juga terpaksa mengikat perut kerana sukar untuk mendapatkan bekalan beras.
“Kesukaran hidup pada waktu itu memang perit disebabkan itu setiap apa yang berlaku masih tersemat di ingatan, malah ketika itu juga kami hanya menjamah ubi kayu untuk alas perut.
“Apa sahaja yang kami ada untuk kemudahan seperti basikal termasuk beras akan dirampas. Walaupun mereka lengkap bersenjata namun mereka seakan takut dengan orang Melayu.
“Ada masa apabila ingin menyelamatkan diri saya bersama keluarga terpaksa melarikan diri dari rumah di Kampung Gubah dan bersembunyi di Batang Saga,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Repat, Nyalas.
Nenek kepada 16 cucu itu bersyukur kerana masih dipinjamkan umur yang panjang dan kesempatan yang ada dia dapat berkongsi kisah zaman dijajah Jepun agar generasi muda hari ini lebih menghargai erti kemerdekaan.
Sementara itu cucu warga emas berkenaan Mohd Faizal Ab Rahman, 42, berkata, sejak diuji dengan masalah kesihatan apabila terjatuh dan mengalami patah pinggul, dia bersama ibu mengambil tanggungjawab menguruskan rutin harian neneknya itu.
“Pastinya dalam keadaan nenek begitu banyak keperluan diperlukan seperti lampin pakai buang dan saya bersyukur kerana YB Along (Datuk Fairul Nizam Roslan) selaku wakil rakyat Asahan banyak menghulurkan bantuan.
“Kebajikan nenek terjaga, selain menerima bantuan untuk lampin pakai buang nenek juga diberikan katil hospital bagi keselesaannya malah apabila perlu ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan susulan pihak Japerun turut menyediakan ambulans,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


