
‘MACHAP HILL’ BUKAN BUKIT BIASA
MACHAP JAYA 7 Mei – Panorama memukau dari puncak ‘Machap Hill’ yang terletak di Menggong, menjadikan kawasan ini sebagai sebuah permata baharu Negeri Melaka yang boleh digilap.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Solok Menggong Untong Dollah berkata, kawasan itu mula diteroka pada 2024 dan mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai satu lagi daya tarikan untuk peminat aktiviti mendaki bukit.
Menurutnya, selain menawarkan keindahan kehijauan sepanjang laluan pendakian, bukit berkenaan turut menyimpan khazanah sejarah termasuk tinggalan era zaman perang yang mampu menarik minat pengunjung.
“Trek pendakian telah dibuat dan kebiasaannya untuk sampai ke puncak ia mengambil masa kira-kira 40 minit. Dari atas, pengunjung dapat menikmati panorama indah meliputi kawasan Machap Pasir dan Machap Umboo.
“Namun, bagi menjadikan Machap Hill sebagai destinasi tumpuan, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan. Saya berharap Kerajaan Negeri dapat memberi perhatian terhadap potensi bukit ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Untong, selain Machap Hill, Solok Menggong juga memiliki tinggalan sejarah iaitu makam Pawang Besar, iaitu seorang pendekar yang dikatakan menjadi orang pertama yang membuka Menggong suatu masa dahulu.
“Ini juga boleh diketengahkan sebagai antara produk pelancongan sejarah, di mana, orang ramai boleh mengetahui mengenai asal-usul dan sejarah kampung ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

