
BUKIT PERCHA, PERMATA TERSEMBUNYI MACHAP JAYA
MACHAP JAYA 24 Mei – Bukit Percha dianggap sebagai permata tersembunyi di Felda Hutan Percha di Machap Jaya kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat aktiviti lasak atau kaki ‘hiking’ tempatan dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Hutan Percha, Nizam Baharom berkata, daya tarikan utama ke kawasan tanah tinggi itu adalah khazanah alam atau flora dan faunanya yang masih asli.
Katanya, antara lokasi paling menarik perhatian dalam kalangan pengunjung adalah, batu kuning yang sebenarnya ditutupi lumut warna kuning, batu lima beradik dan batu tenggek.
“Sebenarnya bukit ini tidak terlalu tinggi, trek paling jauh cuma 2.8 kilometer sahaja, tetapi sepanjang pendakian tidak kurang mencabar seperti lokasi lain, jadi perlu berhati-hati, jika perjalanan santai kebiasaan mengambil masa sekitar 90 minit.
“Apa yang menggamit ramai pengujung ke sini adalah keindahan flora dan fauna serta pemandangan menarik yang ditawarkan di puncak, jika cuaca baik jarak pandangan boleh nampak hingga ke Bukit Katil,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nizam berkata, aktiviti penerokaan bagi membina trek untuk ke puncak bukit dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan dan mengelakkan daripada merosakkan khazanah alam semula jadi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, bagi mempromosikan lagi kawasan tanah tinggi itu sebagai produk pelancongan luar bandar pihaknya menjalankan pelbagai aktiviti dan terbaharu JPKK Hutan Percha menganjurkan Program Santai Hiking Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Malah, beliau turut berharap Bukit Percha akan terus terkenal dan menjadi tumpuan lebih ramai kaki hiking terutama dari luar negara.
“Mengikut perancangan tidak lama lagi kami akan menerima tetamu iaitu sekumpulan pelajar sebuah institutsi pengajian tinggi dari Indonesia, diharapkan kehadiran pengujung luar negara tidak terhenti selepas tamat program berkenaan sebaliknya terus berkembang pada masa akan datang.
“Selain itu kami berhasrat untuk menambah kemudahan dan tarikan lain seperti membina menara tinjau di lokasi batuan besar yang tidak jauh dari puncak bukit, insya-Allah kami berusaha untuk merealisasikan perkara ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

