
TANAMAN DURIAN ‘PELABURAN’ MASA DEPAN CMI
ASAHAN 24 Mei – Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) meneroka bidang pertanian menerusi penanaman 90 pokok durian premium jenis Musang King dan Duri Hitam di Kampung Tersusun Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Bukit Senggeh, di sini.
Projek tanaman itu diusahakan di kawasan seluas 2.88 ekar membabitkan Lot 1651 dan 1652 sebagai antara langkah strategik memanfaatkan aset tanah CMI secara lebih produktif serta berdaya saing.
CMI dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan pokok yang ditanam, sebanyak 45 batang adalah varieti Musang King manakala 45 lagi terdiri daripada Duri Hitam yang mempunyai nilai pasaran tinggi dan permintaan memberangsangkan.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan nilai ekonomi tanah milik organisasi, malah turut menyokong pembangunan aktiviti pertanian mampan di kawasan berpotensi.
“Majoriti kawasan sekitar Kampung Tersusun DMDI sememangnya giat mengusahakan tanaman durian, sekali gus memberi potensi besar kepada pembangunan sektor agro berasaskan ‘raja buah’ ini.
“Selain membuka peluang kepada hasil jangka panjang yang memberi manfaat kepada organisasi, usaha ini juga mencerminkan komitmen CMI dalam memperkukuh pengurusan aset strategik melalui perancangan yang sistematik, berdaya maju dan berimpak tinggi,” kata CMI dalam satu kenyataan.
CMI menjangkakan pokok durian yang ditanam akan mula mengeluarkan hasil dan boleh dituai dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi.
“Usaha ini secara tidak langsung dapat mengelakkan tanah milik CMI terbiar tanpa apa-apa hasil, selain pada masa sama turut terlibat secara aktif dalam program bumi hijau dan menyokong matlamat ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus).
“Semoga program ini dapat memberikan pulangan positif serta menjadi langkah awal ke arah pembangunan pertanian yang lebih lestari,” tambah kenyataan itu lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

