Sorting by

×

MELAKA JADI TUMPUAN GENG ‘BASIKAL LIPAT’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 24 Mei – Seramai 616 pemilik basikal lipat berhimpun di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, bagi memeriahkan Program My Brompton Malaysia Fans Day 2026.

Acara itu merupakan antara pengisian yang diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, istimewanya, acara tersebut bukan sahaja menarik minat peserta dari seluruh negara, bahkan turut melibatkan peserta luar negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand , Hong Kong dan Taiwan.

Selaras dengan aspirasi Bandaraya Melaka Bersejarah sebagai bandar pelancongan dan bandar mampan, beliau memaklumkan, aktiviti berbasikal seperti itu mampu menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih bersih, sihat dan mesra komuniti.

“Pada masa sama, acara ini juga menjadi platform terbaik dalam mempromosikan gaya hidup sihat, amalan rendah karbon serta penggunaan pengangkutan hijau yang lebih lestari, selain memperkukuhkan semangat perpaduan.

“Penganjuran program seperti ini amat signifikan dalam memperlihatkan kematangan bandar raya sebagai sebuah bandar warisan dunia yang terus berkembang maju dari aspek pembangunan, pelancongan, kebudayaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

IMG
ZULKIFLEE ketika menyampaikan sijil penghargaan pada Majlis Perasmian Program My Brompton Malaysia Fans Day 2026.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Nasrul Ahmad; serta lain-lain kenamaan.

Menurut Zulkiflee, program seumpamanya diharap dapat menjadi tarikan pelancongan sukan dan rekreasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung domestik serta antarabangsa ke Negeri Melaka.

“Kehadiran peserta dari dalam dan luar negeri Melaka secara tidak langsung membantu merancakkan ekonomi setempat khususnya sektor pelancongan, perhotelan dan perusahaan kecil tempatan.

“Kita mahu Melaka bukan sahaja dikenali kerana sejarah dan warisannya, tetapi juga sebagai bandar yang aktif, sihat, selamat dan mempunyai komuniti yang dinamik serta prihatin terhadap kelestarian alam sekitar,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

82
Kongsi :
Previous post TANAMAN DURIAN ‘PELABURAN’ MASA DEPAN CMI