Sorting by

×

ZIARAH KASIH JADI RUTIN ‘AH SEM’

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MACHAP JAYA 24 Mei – Nasib rakyat memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya terus terbela menerusi inisiatif ziarah kasih yang menjadi rutin pemimpin di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, usaha itu digerakkan setiap minggu terutama apabila mempunyai masa senggang di sebalik kesibukan tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Katanya, antara yang sering dilakukannya adalah menziarahi penduduk yang sakit atau meninggal dunia, selain mereka yang berdepan kesusahan hidup.

“Saya memang suka turun padang dan mengadakan ziarah kasih kerana dari sini kita dapat tahu apa keperluan rakyat kurang bernasib baik dalam sudut kebajikan.

“Jika memerlukan bantuan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kita akan bantu permohonan tersebut dan jika ia memerlukan bantuan peralatan seperti kerusi roda, katil dan sebagainya kita akan segerakan.

“Sebab itulah, saya sentiasa memohon kepada syarikat-syarikat swasta agar mengadakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi sumbangan kerusi roda atau katil untuk pesakit terlantar agar kita dapat berterusan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.

Ziarah
HEE Sem bersama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri ketika menziarahi warga emas, Amnah Md Sab, 89, pada Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 sempena WRUR DUN Machap Jaya. Foto Afiq Mustaffa

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, antara mekanisme membantu penduduk di Machap Jaya adalah dengan menggerakkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk turun dan mengumpul aduan daripada penduduk kampung sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Ini kerana merekalah (JPKK) yang sentiasa berada di kampung dan mengenali setiap penduduk di kawasan masing-masing.

“Tidak dinafikan ada sebahagian kecil bantuan kebajikan kita akan terlepas pandang kerana mungkin hari ini ada penduduk nampak dalam keadaan baik, namun dalam beberapa hari mereka boleh jatuh sakit.

“Sebab itulah penting untuk diadakan ziarah kasih dan turun padang di segenap pelusuk kampung kerana dari sini juga kita dapat mengetahui jika terdapat masalah atau rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

116
Kongsi :
Previous post MELAKA JADI TUMPUAN GENG ‘BASIKAL LIPAT’