Sorting by

×

BISKUT TONGKAT BUKIT BULAT LAIN DARIPADA YANG LAIN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MACHAP JAYA 24 Mei – Rasanya yang lebih rangup dan tidak perlu mengambil masa lama untuk lembut apabila dicicah dengan secawan teh atau kopi panas menjadikan biskut tongkat dari Kampung Bukit Bulat ini lain daripada yang lain.

Tidak hairanlah kuih tradisional kampung yang diusahakan Nur Hafiza Mohammad, 34, itu digemari ramai bukan sahaja dalam kalangan penduduk di Melaka, malah turut menjadi pilihan pelanggan dari Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, minat dalam bidang pastri menjadi titik mula untuknya memperkenalkan biskut tongkat hasil olahan resipi sendiri.

“Mulanya saya lebih kepada membuat kek dan roti, namun produk ini tidak tahan lama. Jadi dari situ saya mula belajar cara membuat biskut tongkat dan mengolah resipi itu sendiri sehingga mendapat tekstur dan rasa yang saya puas hati,” katanya yang telah memulakan perniagaan itu sejak 2015.

Bulat
NUR Hafiza menunjukkan produk biskut tongkat yang menjadi identiti Felda Bukit Bulat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut penerima Anugerah Usahawan Wanita Alor Gajah itu, selain jualan biasa kepada orang ramai, dia kini turut menghasilkan cenderahati (goodies) biskut tongkat untuk majlis-majlis seperti perkahwinan, hari jadi dan keraian.

Jelasnya, harga yang dijual juga amat berpatutan iaitu serendah RM1.50 hingga RM3 bagi cenderahati, manakala bagi pek 300 gram, ia hanya dijual pada harga RM5 sahaja.

“Selain jualan fizikal, saya juga turut mempromosikan biskut tongkat ini secara dalam talian iaitu di Facebook, Instagram dan TikTok di bawah jenama Feeza Frenzy.

“Besar harapan saya untuk terus mengembangkan lagi produk ini pada masa akan datang dengan sasaran untuk memiliki sebuah gerai jualan di setiap negeri supaya biskut tongkat Bukit Bulat ini semakin dikenali,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

87
Kongsi :
Previous post ZIARAH KASIH JADI RUTIN ‘AH SEM’