Sorting by

×

MUSIM RAYA, MACHAP UMBOO DIBANJIRI PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

MACHAP JAYA 25 Mei – Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Machap Umboo sentiasa menjadi acara yang dinantikan saban tahun oleh penduduk setempat, khususnya kerana keunikan dekorasi yang menghiasi kawasan kampung tersebut.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, suasana kampung kecil itu dipenuhi dengan limpahan tanglung merah, kaligrafi Cina serta pelbagai hiasan tradisional yang menyerikan setiap sudut.

Kemeriahan tersebut bukan sahaja mencetuskan suasana perayaan yang lebih hidup, malah turut menjadi tarikan kepada pengunjung luar yang tidak melepaskan peluang untuk singgah bergambar dan merasai sendiri keunikan suasana kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB) Machap Umboo, Chua Boon Pok, 65, berkata, tradisi menghias kampung sempena Tahun Baharu Cina itu telah dilaksanakan sejak hampir sembilan tahun lalu dan masih diteruskan hingga ke hari ini.

“Pelaksanaan hiasan tahun ini melibatkan lokasi seperti jalan besar kampung, kawasan padang, taman permainan, sekolah, tokong dan beberapa kawasan tumpuan penduduk.

“Kali ini kita laksanakan secara lebih besar dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk penduduk kampung, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga Persatuan Tarian Singa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Boon Pok, penganjuran dekorasi tahunan itu bertujuan menghidupkan suasana perayaan di kampung serta menggalakkan perantau dan anak muda untuk pulang ke kampung halaman bagi sama-sama memeriahkan sambutan.

“Kita ingin menarik orang luar datang dan dalam masa sama menggalakkan anak muda balik kampung. Apabila mereka lihat suasana meriah seperti ini, mereka akan rasa lebih dekat dengan kampung sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, kos pelaksanaan hiasan tahun ini dianggarkan mencecah lebih RM100,000 hasil sumbangan pelbagai pihak, di mana persiapan juga telah bermula sejak awal perancangan, iaitu sekitar bulan Ogos tahun lalu.

“Selain menampilkan dekorasi yang menarik, konsep hiasan tahun ini turut mengetengahkan elemen mesra alam dengan penggunaan bahan kitar semula dengan masih mengekalkan identiti tradisional masyarakat Cina.

“Contohnya, kita menggunakan bahan kitar semula seperti botol dan tin untuk dijadikan hiasan. Selain mencantikkan kawasan, kita juga dapat menjaga alam sekitar,” katanya.

Dia mewakili Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baharu (JPKKB) Machap Umboo, berharap usaha ini dapat diteruskan setiap tahun dengan penambahbaikan dari segi kreativiti dan penglibatan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post MPJ TINGKATKAN STANDARD KEBERSIHAN PREMIS MAKANAN