
PANGGILAN VIDEO DARI TANAH SUCI BUKTI KETUA MENTERI PRIHATIN NASIB MANGSA KEBAKARAN
TANJUNG BIDARA 25 Mei – Panggilan video daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kini sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci, sedikit sebanyak membantu menyuntik semangat buat Mohd Fairus Hamzah, 53, apabila dia hilang tempat berteduh selepas rumah pusaka miliknya di Kampung Balik Hutan, Lubok Redan, Masjid Tanah, di sini, musnah dalam kebakaran jam 9 malam semalam.
Menerusi panggilan video itu, Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, turut memberikan kata-kata semangat kepada Mohd Fairus selain mengarahkan jabatan dan agensi berkenaan membantu melancarkan urusannya serta keluarga untuk bangkit semula.
Dugaan itu dianggap amat berat buat Mohd Fairus, apa tidaknya dia bersama isteri Samsiah Hassan, 48, dan dua anak tinggal sehelai sepinggang tatkala umat Islam yang lain sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, Rabu ini.
Katanya, ketika kejadian dia bersama isteri berada di luar kerana mempunyai urusan di Alor Gajah dan bergegas pulang selepas dihubungi ahli keluarganya berhubung kejadian berkenaan.
“Ketika sampai bomba sudah memadamkan kebakaran, mujur dua anak sempat menyelamatkan diri, alhamdulillah dugaan menimpa saya dan keluarga mendapat perhatian ramai pihak termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, terima kasih kepada beliau cakna dengan nasib saya. Inysa-Allah apabila ke Melaka nanti beliau akan datang melawat saya dan keluarga.
“Buat sementara waktu kami menumpang di rumah kakak saya, wakil agensi berkaitan termasuk Japerun juga tampil bagi urusan permohonan mendapatkan kediaman baharu, diharapkan urusan itu juga dipermudahkan nanti,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.
Terdahulu Mohd Fairus menerima kunjungan Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid yang mewakili Ketua Menteri bagi bertanya khabar dan menyerahkan bantuan awal termasuk daripada agensi seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Turut hadir Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah Mohd Hafith Alias; Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Azizan Daud dan Setiausaha Japerun Tanjung Bidara Ahmad Warid Ismail.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

