Sorting by

×

BANDA HILIR SEMAKIN ‘MENYALA’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 25 Mei – Kawasan pelancongan di Banda Hilir semakin berseri pada musim cuti sekolah ini dengan limpahan lampu berwarna-warni.

Inisiatif dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu sekali gus menjadi satu lagi tarikan terbaharu untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, lampu berwarna-warni yang dipasang di sepanjang laluan Bangunan Merah itu merupakan satu lagi kreativiti yang dicetuskan anggotanya dalam menambah keceriaan kawasan pelancongan.

Lebih istimewa, ujar beliau, inisiatif tersebut boleh menjadi satu lagi promosi percuma dalam menggamit kehadiran pelancong, khususnya bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dengan adanya lampu berwarna-warni menghiasi laluan di Bangunan Merah ini ia dapat meninggalkan momen-momen indah kepada pelancong dan pengunjung dengan bergambar.

“Apabila gambar itu dimuat naik di platform media sosial, sudah pasti ia akan memberikan promosi secara percuma untuk Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke Bangunan Merah, di sini, malam tadi.

WhatsApp Image 2026 05 25 at 1.07.37 PM
LIMPAHAN lampu berwarna-warni menceriakan lagi kawasan pelancongan di Banda Hilir. Foto MBMB

Menurut Shadan, projek lampu tersebut kini telah melebihi 90 peratus siap dan ia dijangka akan dirasmikan tidak lama lagi.

“Saya percaya tarikan ini akan menjadi satu lagi produk baharu dalam menarik kehadiran pelancong, apatah lagi, ia diperkenalkan pada musim cuti panjang ketika ini,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post 30 LEMBU KORBAN DIAGIHKAN KE LOKASI TERPILIH SEKITAR PARLIMEN TANGGA BATU