
DARI ‘BANDAR MATI’ KE TRANSFORMASI AGENSI AGAMA, RAHMAD KONGSI PENGALAMAN TERAJUI 3 EXCO
AYER KEROH 25 Mei – Pengalaman memegang tiga portfolio Exco Kerajaan Negeri meninggalkan pelbagai kenangan manis, pahit dan cabaran sepanjang berkhidmat kepada rakyat, kata Datuk Rahmad Mariman.
Berkongsi cabaran itu, Rahmad mengakui antara detik paling mencabar pernah dilaluinya adalah ketika memegang portfolio Exco Kesihatan dan Anti Dadah sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara.
Menurut beliau, ketika itu semua pihak berada dalam keadaan tidak pasti termasuk petugas kesihatan mengenai cara menangani wabak berkenaan selain pelaksanaan pelbagai sekatan pergerakan.
“Waktu COVID-19 memang saat paling sukar kerana ketika itu semua orang takut dan berada dalam keadaan dilema. Saya masih ingat suasana sunyi pada waktu malam, jalan raya lengang seperti bandar mati.
“Sampai saya terfikir adakah dunia ini hendak kiamat kerana keadaan ketika itu sangat berbeza dan menakutkan,” katanya semasa Podcast Melaka Hari Ini (MHI) Mana Lagi? Melaka Ler di Studio MHI.
Tambahnya, ketika itu keluarga juga tidak dibenarkan menziarahi pesakit COVID-19 malah ada yang meninggal dunia tanpa dapat ditemui ahli keluarga buat kali terakhir.
“Masjid dan surau ditutup, solat hari raya pun tidak dapat dilaksanakan. Memang ketika itu rakyat berada dalam keadaan ketakutan.
“Saya juga turun padang ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk di Alor Gajah dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Ada pesakit hanya dapat dilihat melalui cermin dan ada juga yang meninggal dunia di situ,” katanya.
Rahmad berkata, selepas pandemik kembali pulih beliau diberi tanggungjawab menerajui portfolio Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan dan Pengurusan Banjir yang turut berdepan cabaran besar terutama dalam menangani isu banjir di negeri ini.
Namun, katanya, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai hampir RM1 bilion yang sedang dilaksanakan kini dilihat berjaya mengurangkan masalah banjir di beberapa kawasan di Melaka.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama pelbagai agensi dan masyarakat, banyak projek RTB berjaya dilaksanakan dan ada antaranya hampir siap,” katanya.
Selepas itu beliau dilantik sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri dengan memberi fokus kepada peningkatan prestasi pendidikan serta pengukuhan pengurusan agensi agama di negeri ini.
Menurutnya, antara langkah awal dilakukan adalah meletakkan agensi agama dalam ‘flagship’ Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) bagi memastikan setiap jabatan bergerak secara lebih tersusun dan berfokus.
“Saya juga menyelaraskan semua agensi agama termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Mufti Negeri Melaka, Mahkamah Syariah dan agensi berkaitan supaya bergerak secara bersama.
“Tanggungjawab ini besar kerana melibatkan hampir 4,000 kakitangan termasuk Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM serta institusi agama di seluruh negeri Melaka.
“Alhamdulillah kerjasama erat semua pegawai dan kakitangan agensi kerajaan membolehkan pelbagai perubahan positif dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

