Sorting by

×

30 LEMBU KORBAN DIAGIHKAN KE LOKASI TERPILIH SEKITAR PARLIMEN TANGGA BATU

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 25 Mei – Sebanyak 30 ekor lembu korban diagihkan ke masjid dan surau terpilih seluruh Parlimen Tangga Batu sempena Aidiladha tahun ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu meningkat berbanding 28 ekor sahaja pada tahun lalu.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, peningkatan itu adalah susulan pertambahan lokasi penerima termasuk kawasan perumahan polis di Krubong.

“Pengagihan lembu korban ini membabitkan masjid, surau, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), komuniti setempat serta tiga kem tentera dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

“Setiap tahun kita menyasarkan antara 25 hingga 30 ekor lembu korban mengikut kemampuan dan pada tahun ini juga kita mula mengagihkan lembu korban kepada perumahan polis di Krubong yang mempunyai ratusan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Haiwan Korban di Kompleks Japerun Paya Rumput di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, antara kelainan pada tahun ini buat pertama kali penglibatan masjid baharu iaitu Masjid Saidina Abdul Al Rahman Ibn Auf R.A di Cheng Perdana yang buat pertama kali melaksanakan ibadah korban.

Tambah Rais, bilangan pertambahan penduduk dan pembangunan baharu termasuk pembinaan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Tanjung Minyak baharu akan meningkatkan bilangan haiwan korban yang disasarkan pada masa akan datang.

“Pada tahun ini kita anggarkan nilaian kesemua 30 haiwan korban yang diagihkan membabitkan nilai lebih RM160,000 dan diharapkan ramai yang akan menerima manfaat daripada ibadah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS JADI TUMPUAN PELABURAN SEKTOR F&B