
MELAKA TERUS JADI TUMPUAN PELABURAN SEKTOR F&B
PAYA RUMPUT 25 Mei – Perkembangan industri makanan dan minuman (F&B) termasuk pembukaan lebih banyak restoran makanan segera di negeri ini dilihat mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat selain membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Melaka.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkembangan sektor itu di negeri ini menunjukkan ekonomi Melaka terus bergerak positif dan mendapat keyakinan daripada pelabur serta pengusaha industri.
Menurutnya, ia termasuk pembukaan sebuah lagi restoran makanan segera di Cheng Perdana, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang membuktikan perkembangan ekonomi semakin rancak khususnya di kawasan Parlimen Tangga Batu.
“Ini merupakan satu kebanggaan buat rakyat Melaka kerana kita dapat lihat perkembangan ekonomi yang tidak pernah terhenti, termasuk dalam sektor makanan dan minuman.
“Minggu lalu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sendiri merasmikan pembukaan sebuah gedung perniagaan berskala besar dan kini sektor F&B pula terus berkembang dengan pembukaan premis baharu.
“Ini menunjukkan ekonomi Negeri Melaka berada pada landasan baik dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sebuah restoran makanan segera di Cheng Perdana, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, DUN Paya Rumput kini semakin berkembang sebagai lokasi tumpuan perniagaan dengan kehadiran pelbagai premis makanan serta pusat jualan yang memberi pilihan kepada pengguna.
“Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga sentiasa menggalakkan peniaga kecil serta penjaja menjalankan perniagaan dengan menyediakan peluang dan ruang yang sesuai.
“Kita akan permudahkan urusan peniaga untuk mendapatkan lesen selagi mana mereka mematuhi syarat ditetapkan dan tidak mengganggu lalu lintas. Kita mahu lebih ramai peniaga tempatan khususnya Bumiputera dapat berkembang dalam sektor ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

