Sorting by

×

ORANG ASLI MACHAP JAYA UBAH ‘BAHAN RIMBA’ JADI PERMATA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MACHAP JAYA 26 Mei – Di Kampung Orang Asli Bukit Besar yang dikelilingi pokok hutan dan jauh daripada pembangunan, kisah seorang penduduk Orang Asli, Fatimah Ahing, 44, ini seolah-olah membuka sebuah perspektif berbeza.

Tidak mahu dianggap terasing daripada komuniti utama, ibu kepada empat orang anak ini telah mengusahakan seni kraftangan demi membawa warisan budayanya keluar ke pengetahuan masyarakat.

Fatimah menghasilkan pelbagai produk kraftangan menggunakan bahan semula jadi yang diperoleh dari hutan seperti mengkuang, rotan dan biji saga untuk dijadikan bakul, tikar serta pelbagai lagi.

Sudah lebih dua dekad menetap di kampung tersebut, ujar Fatimah, semuanya bermula apabila dia nekad untuk mencari pendapatan sampingan dan tidak mengharapkan upah daripada kerja menoreh getah Bersama suami semata-mata.

“Mula-mula saya buat suka-suka saja ikut ajaran orang tua tapi lama-lama terus minat.

“Tak mudah contohnya nak buat rantai biji saga, saya perlu masuk ke hutan mencari bahan mentah sebelum menebuk lubang pada setiap biji.

“Apabila sudah biasa, jadi mudah. Lagipun, apabila dijual boleh juga dapat duit” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Fatimah, walaupun baru berjinak-jinak dalam seni kraftangan itu namun dia sudah mula menerima tempahan kecil.

Kongsinya, produk kraftangannya juga pernah dibawa ke beberapa program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang disifatkan medium terbaik memperkenalkan hasil tangan Orang Asli kepada masyarakat bandar.

“Bila orang nampak hasil kerja kita, saya rasa banggalah sebagai Orang Asli dari kampung sini.

“Lebih seronok apabila dapat jumpa kawan-kawan pengusaha kraf yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupannya di perkampungan itu selama lebih 20 tahun, katanya, sokongan daripada wakil rakyat kawasan yang sering turun padang dan menyantuni komuniti itu membuatkan mereka terus hidup dalam suasana harmoni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

182
Kongsi :
Previous post PENGAWAL KESELAMATAN MAUT LANGGAR ANJING LINTAS JALAN