Sorting by

×

PENGAWAL KESELAMATAN MAUT LANGGAR ANJING LINTAS JALAN

Masa Membaca:59 Saat

LENDU 26 Mei – Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di Masjid Tanah maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor anjing di Jalan Londang, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu, mangsa iaitu lelaki berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa sedang perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

Katanya, ketika melalui lokasi kejadian di jalan satu lorong dua hala, motosikal jenis Yamaha Y16ZR ditunggang mangsa dipercayai telah melanggar seekor anjing yang melintas jalan secara tiba-tiba, sebelum hilang kawalan dan terbabas.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian telah menemukan bangkai seekor anjing di tepi jalan,” katanya.

Menurut beliau, motosikal terlibat kemalangan telah dibawa ke Balai Polis TRafik Alor Gajah dan akan dihantar ke PUSPAKOM bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Log Gia Xao di talian 019-5382353.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Kongsi :
Previous post PERKASA PENIAGA KECIL, PACU EKONOMI MELAKA