Sorting by

×

TAMAN PERMAINAN SDG PARK UNTUK KANAK-KANAK 7 HINGGA 12 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 26 Mei – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memantau isu Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park di Plaza Melaka Sentral yang tular di media sosial selepas didakwa tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana terlalu ekstrem dan bahaya.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya telah memasang tanda amaran bahawa hanya kanak-kanak di bawah usia 7 tahun tidak sesuai bermain di situ.

Katanya, setiap pembangunan taman permainan awam di negeri ini telah melalui pelbagai kajian termasuk aspek keselamatan sebelum dilaksanakan.

“Ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak menggunakan kemudahan rekreasi yang bersesuaian dengan umur dan kemampuan mereka.

“Kita yakin MBMB sudah membuat kajian impak dan keselamatan sebelum membangunkan taman permainan itu kerana ia menggunakan dana awam Kerajaan Negeri.

“Kalau sudah dinyatakan permainan itu untuk umur 7 hingga 12 tahun, ibu bapa diminta menilai sendiri kemampuan anak mereka dan jangan mengambil risiko,” katanya kepada pemberita pada Majlis Simbolik Penyerahan Haiwan Korban di Kompleks Japerun Paya Rumput di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rais berkata, MBMB juga akan melihat keperluan menambah lebih banyak taman permainan yang sesuai untuk kanak-kanak lebih kecil di kawasan lain.

“Di Melaka banyak lagi lokasi rekreasi keluarga seperti Taman Bandaraya Bukit Serindit dan Taman One Krubong yang sesuai untuk anak-anak kecil.

“Namun, kita akan terus pantau kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

159
Kongsi :
Previous post ORANG ASLI MACHAP JAYA UBAH ‘BAHAN RIMBA’ JADI PERMATA