
SUAMI ISTERI ‘HIDUPKAN’ TANAH TERBIAR DENGAN CILI KULAI
ASAHAN 26 Mei – Tapak terbiar di Felcra Desa Mesra Perdana, Bukit Sedanan yang sudah lama sunyi kini kembali hidup apabila pengusaha cili kulai, Zaiton Mamat, 57, bersama suaminya, Abu Bakar, 59, mengambil alih projek yang sebelum ini diuruskan Persatuan Wadira Felcra Bukit Sedanan.
Tanah seluas suku hektar itu kini dipenuhi barisan polibeg berisi tanaman cili kulai yang dijaga rapi oleh pasangan itu sejak mengambil alih projek berkenaan tahun lepas.
“Pada pusingan pertama, tapak ini dijalankan oleh ibu-ibu generasi pertama Persatuan Wadira Felcra Bukit Sedanan, tetapi selepas itu, mereka tidak lagi mampu meneruskan projek kerana kudrat fizikal yang terhad.
“Jadi, bagi pusingan kedua, kami ambil inisiatif untuk meneruskannya agar tapak ini tidak terbiar begitu sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di ladang cili yang diusahakan mereka di Felcra Desa Mesra Perdana, Bukit Sedanan.
Menurut Zaiton, tanah itu mampu menampung sehingga 1,000 polibeg cili kulai dan hasil pengeluaran boleh mencecah RM7,000 hingga RM8,000 setiap kali tuaian.
“Modal awal yang kami gunakan hanyalah kira-kira RM3,000 untuk benih, baja dan racun, kerana tanah dan tapak sudah tersedia.
“Hasil tanaman kami pasarkan kepada pengusaha restoran, termasuk nasi ayam geprek, serta beberapa pasar tempatan lain. Harga jualannya sekitar RM10 sekilogram, bergantung kepada permintaan pasaran,” tambahnya.
Zaiton menegaskan, penjagaan cili kulai memerlukan perhatian rapi, terutamanya dalam aspek penyemburan penggalak bunga, kawalan serangga perosak, serta memastikan cili berkembang dengan baik.
“Cabaran memang banyak, tetapi selagi kudrat kami masih kuat, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan setiap pokok mendapat penjagaan optimum dan hasil yang memuaskan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

