
AIDILADHA: MAIM TUMBANG DUA LEMBU KORBAN UNTUK ORANG ASLI
AYER KEROH 26 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menumbangkan dua ekor lembu untuk komuniti Orang Asli di negeri ini sempena Aidiladha tahun ini.
Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, seperti kebiasaan, pihaknya akan melaksanakan program korban bersama komuniti Orang Asli setiap tahun.
Katanya, sumbangan dua ekor lembu melalui Bahagian Dakwah di bawah MAIM sebagai usaha mendekati dan menyantuni golongan berkenaan.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan komuniti Orang Asli turut merasai kemeriahan Aidiladha selain memperkukuh hubungan antara institusi agama dan masyarakat setempat.
“Program ini diadakan sebagai usaha memperkukuh hubungan silaturahim antara agensi agama negeri dengan masyarakat selain menyemarakkan semangat penghayatan ibadah korban dalam kalangan komuniti Orang Asli secara amnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hairulamin berkata, dengan pelaksanaan program tersebut diharap sambutan Aidiladha pada tahun ini akan lebih bermakna serta memberi impak positif kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.
“MAIM juga mahu memastikan golongan yang kurang berkemampuan tidak tercicir daripada merasai nikmat dan keberkatan sambutan Aidiladha,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

