
EMPAT LELAKI DITAHAN MEMANDU SECARA BERBAHAYA, LARIKAN DIRI DARIPADA POLIS
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata kejadian bermula pada 2.23 pagi apabila anggota kereta peronda polis cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey berwarna hitam.
Beliau berkata ketika kejadian, kenderaan dinaiki kesemua suspek itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di Persiaran Industri Kota Damansara berhampiran sebuah stesen minyak.
“Bagaimanapun, suspek enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan berbuat demikian, sebaliknya bertindak melarikan diri serta memandu secara agresif menghala ke pusat bandar raya.
“Tindakan pantas pihak polis bagaimanapun berjaya memintas kenderaan berkenaan di Jalan Air Jernih, Air Panas, Kuala Lumpur sebelum memberkas keempat-empat suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemukan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan jenayah curi dan pecah rumah.
Antara barangan yang dirampas ialah sebilah parang, pahat, pemotong besi, kuku kambing, pemutar skru serta tali pengikat (ratchet).
Beliau berkata semakan terhadap suspek yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 30-an itu mendapati mereka memiliki antara 15 hingga 19 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan dengan tiga daripadanya berstatus individu dikehendaki.
Beliau berkata kesemua suspek direman dua hari hingga esok dan kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

