Sorting by

×

PROJEK SUNDUK 2026 SASAR KUMPUL EMPAT TAN DAGING KORBAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KESIDANG 30 Mei – Projek Sunduk Korban yang digerakkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada tahun ini mengumpulkan lebih 1.5 tan daging korban pada hari pertama Hari Raya Aidiladha.

Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, inisiatif digerakkan bersama Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) Melaka itu bertujuan mengumpul daging korban daripada seluruh negeri sebelum diagihkan kepada golongan asnaf serta individu memerlukan.

“Tahun ini kita menyasarkan 4,000 kilogram (kg) atau empat tan daging korban dan sehingga semalam kita sudah berjaya mengumpulkan lebih 1,500 kg daging.

“Malah untuk hari kedua ini kita mendapatkan lagi tambahan sebanyak sembilan ekor lembu dan pastinya jumlah daging korban terkumpul akan meningkat.

“Untuk makluman pada tahun lalu kita berjaya mengumpul sebanyak 3.8 tan daging korban menerusi Projek Korban Sunduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kasih Qurban Perdana Bersama Mualaf Negeri Melaka Tahun 2026 yang turut dihadiri Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Nasir Wahab, Isnin lalu.

Menurutnya, program yang dicetuskan oleh Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil adalah sebagai usaha membantu menjamin bekalan makanan kepada golongan memerlukan dalam tempoh tertentu menerusi pengumpulan dan pengagihan daging korban secara tersusun.

“Program ini diwujudkan supaya tiada golongan yang berdepan masalah kelaparan dalam tempoh terdekat kerana kita menghimpunkan daging korban yang diperoleh dari seluruh Melaka.

“Daging-daging yang disumbangkan oleh penganjur program korban atau orang persendirian akan dikumpulkan sebelum disimpan didalam peti sejuk beku dan diagihkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Jelas Mohd Hairulamin, pihaknya masih membuka ruang kepada mana-mana individu atau pihak yang ingin menyumbangkan daging korban untuk diuruskan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post JELAJAH MEDIPULIH MELAKA 2026 TUMPU PERKUKUH KESIHATAN KOMUNITI DI TIGA LOKASI
Next post ‘PETTING ZONE’ PIKAT PENGUNJUNG ZOO MELAKA