
‘PETTING ZONE’ PIKAT PENGUNJUNG ZOO MELAKA
AYER KEROH 30 Mei – Tarikan ‘Petting Zone’ di Zoo Melaka menjadi antara aktiviti paling diminati pengunjung sempena cuti sekolah ini.
Tinjauan Melaka Hari Ini di Zoo Melaka mendapati ramai pengunjung mengambil peluang mencuba aktiviti tersebut yang membolehkan mereka untuk memberi makan serta menyentuh haiwan seperti arnab, guinea pig, ayam, meerkat, kambing pygmy, burung kakak tua, kura-kura dan ball python.
Pengunjung, Nurul Hamimah Md Hairi, 40, berkata, dia telah merancang lebih awal untuk membawa keluarganya bercuti ke Melaka dan menjadikan Zoo Melaka sebagai destinasi utama untuk dilawati.
Menurutnya, tarikan yang ditawarkan itu memberikan pengalaman berbeza berbanding zoo lain yang pernah dikunjunginya sebelum ini.
“Di Zoo Melaka kami berpeluang melihat haiwan dengan lebih dekat dan jelas. Ini menjadi antara pengalaman yang seronok, terutamanya buat anak saya. Selain dapat memberi makan, mereka juga berpeluang mengenali pelbagai spesies haiwan.
“Bagi saya, persekitaran di sini juga selamat untuk kanak-kanak dan harga tiket yang ditawarkan sangat berpatutan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang juga pelancong dari Kuala Lumpur, Amier Hazim Zainul Abidin, 32, berkata, tarikan ‘Petting Zone’ yang dibawa memberikan pengalaman baharu buat dirinya dan keluarga yang berkunjung sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
“Anak saya memang suka haiwan sebab itu saya bawa mereka ke sini. Banyak jenis haiwan dan paling menarik kami boleh memegang haiwan seperti arnab dan ayam. Sebelum ini saya hanya melihat haiwan dari jauh, jadi pengalaman ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Bagi pengunjung dari Kuantan, Junainah Azmi, 40, berkata, anak-anaknya berpeluang memegang dan memberi makan arnab, guinea pig dan haiwan lain dari jarak dekat.
“Memang patut membawa anak-anak ke sini supaya mereka dapat belajar mengenali haiwan dengan lebih dekat serta tidak terlalu bergantung kepada gajet ketika melawat zoo ini,” katanya.
Terdahulu, ‘Petting Zone’ di Zoo Melaka menawarkan kemasukan secara percuma kepada pengunjung dengan waktu operasi yang sama seperti zoo.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


