
PENGANGGUR DITAHAN BANTU SIASATAN PENEMUAN MAYAT TANPA IDENTITI
KESIDANG 29 Mei – Seorang pengganggur iaitu lelaki berusia 40 tahun ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan mayat tanpa identiti disebuah rumah kedai dua tingkat yang disewa ibunya di Pokok Mangga, di sini, jam 7 malam semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan dibungkus menggunakan tilam di ruang tamu rumah kedai berkenaan dan kedua-dua tangan mangsa juga diikat.
“Berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui dan pemeriksaan awal kami percaya kes ini mempunyai unsur jenayah. Setakat ini identiti mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah mereput.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan lalu sebelum ditemui. Terdahulu pemilik premis ke lokasi kejadian untuk berjumpa penyewa yang gagal dihubungi, namun dia kemudiannya menemui mayat berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal penyewa adalah seorang wanita, namun difahamkan anak wanita berkenaan kemudian tinggal di situ,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pengurusan, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Dan Pengerusi PERKEP (Persatuan Keluarga Polis)Â Daerah Melaka Tengah, di Balai Polis Malim, hari ini.
Menurut Dzulkhairi, suspek ditahan di unit rumah berhadapan lokasi penemuan mayat tanpa identiti berkenaan jam 11 malam hari sama dan hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati dia positif dadah.
“Semakan dijalankan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, kami akan memohon kebenaran perintah tahanan reman terhadap suspek hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita percaya motif kejadian dan kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat selepas selesai proses soal siasat, namun proses itu terbantut kerana suspek dalam keadaan khayal ketika ditahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


