Sorting by

×

JELAJAH MEDIPULIH MELAKA 2026 TUMPU PERKUKUH KESIHATAN KOMUNITI DI TIGA LOKASI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 29 Mei – Pendekatan kesihatan berasaskan komuniti terus diperkukuh apabila Program Jelajah MediPulih Melaka 2026 diperkenalkan sebagai platform saringan awal dan pencegahan penyakit kepada masyarakat di tiga kawasan utama negeri ini.

Pengarah Urusan MediPulih Dr. Zool Raimy Abdul Ghaffar berkata, program yang berlangsung sepanjang April lalu dilaksanakan bagi memperluas akses kesihatan mampu milik selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan saringan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan obesiti.

Katanya, jelajah tersebut telah bermula pada perasmian Cawangan MediPulih Ayer Keroh pada 11 April, sebelum diteruskan pembukaan secara rasmi Cawangan MediPulih Ujong Pasir pada 18 April, dan kemuncaknya di Majlis Grand Opening MediPulih Cawangan Batu Berendam pada 25 April lepas.

“Pendekatan jelajah ini membolehkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan kesihatan terus di lokasi komuniti tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada fasiliti kesihatan utama, sekali gus menggalakkan budaya pemeriksaan secara berkala.

“Setiap siri jelajah dan perasmian pembukaan turut mendapat sokongan pemimpin tempatan seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee; Adun Kesidang Allex Seah Shoo Chin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk membantu memperkukuh penyertaan komuniti di kawasan masing-masing,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hadir sama di setiap lokasi jelajah tersebut Ketua Strategi Korporat MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Dr. Zool Raimy berkata beliau melihat usaha jelajah tersebut dilaksanakan dilihat dapat memperkukuh sistem kesihatan pencegahan di peringkat akar umbi, sekali gus membantu mengurangkan risiko komplikasi penyakit melalui pengesanan awal.

“Selain saringan kesihatan asas, jelajah ini telah menawarkan pemeriksaan pergigian, fisioterapi, analisis kulit, konsultasi kecergasan serta sesi pendidikan kesihatan yang dilaksanakan bersama rakan strategik kesihatan dan NGO,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post PELAJAR TINGKATKAN EMPAT DITAHAN DIPERCAYAI BEKAL ‘VAPE MUSHROOM’