
MELAKA PELOPOR PENDIDIKAN DIGITAL SEAWAL USIA MUDA
PENGKALAN BATU 30 Mei – Melaka terus menzahirkan komitmen kepada pelaburan dalam bidang pendidikan menerusi pengenalan program pendidikan digital yang diperkenalkan seawal usia 4 tahun.
Ia menerusi penubuhan sebuah hab pendidikan digital yang dibangunkan di Taman Seri Cempaka, Peringgit, di sini.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, penubuhan hab pendidikan itu bakal menjadi pelopor dalam memberi pendedahan kepada anak-anak seawal usia muda mengenai kepentingan industri berkaitan digital, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Jelas beliau, program yang ditawarkan bukan berkonsepkan ‘one-off’, sebaliknya ia berlanjutan bermula daripada pendidikan awal, pendidikan rendah, pendidikan menengah, sehinggalah ke instutusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan seterusnya ke peringkat industri.
“Jadi, program ini secara tidak langsung selari dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menitik berat dan meletakkan TVET sebagai keutamaan dan industri masa depan Melaka.
“Jadi hab ini melengkapkan sistem pendidikan itu di peringkat awal lagi, di mana ia bukan sahaja memberi nilai tambah kepada usaha Kerajaan Negeri, bahkan berupaya memupuk minat anak-anak kita dalam bidang berasaskan teknologi dan seterusnya mencetus budaya inovasi serta pembangunan bakat sejak peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hab Pendidikan Digital Todak Academy (Melaka) di Taman Seri Cempaka, Peringgit, di sini, hari ini.
Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong menambah, antara program pendidikan digital yang ditawarkan adalah seperti ‘game based learning’, ‘AI Robotics’, 3D Animakers dan ‘Esports Education’.
Menurut beliau, selain pembelajaran secara bersemuka, program itu turut diadakan secara bergerak ke sekolah-sekolah dalam Negeri Melaka bagi memudah dan memperluaskan lagi sistem pembelajaran yang diperkenalkan.
“Modul yang ada ini juga bukan sekadar tentang pendidikan semata-mata, tetapi juga tentang etika dan nilai murni yang harus ditanam dalam diri anak-anak.
“Saya percaya, hab ini akan membawa satu perubahan besar dalam sistem pendidikan kita kerana ia menawarkan satu dimensi berbeza daripada pendidikan normal di sekolah,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

