MELAKA SINARI AIDILADHA MASYARAKAT ORANG ASLI
MACHAP JAYA 30 Mei – Masyarakat Orang Asli di negeri ini tidak dipinggirkan bersempena sambutan Aidiladha apabila diadakan program ibadah korban anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Ia menerusi penganjuran Program Sinar Zulhijah yang menumbangkan sebanyak empat ekor lembu untuk diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di 14 buah kampung di seluruh negeri.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, menerusi program itu masyarakat Orang Asli sama ada Islam atau bukan Islam disantuni dengan sumbangan berupa daging korban.
Jelas beliau, ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen dan keprihatinan agensi agama Islam negeri dalam menyemarak penghayatan ibadah korban kepada segenap lapisan masyarakat di negeri ini.
“Melihat kemesraan dan semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh penduduk setempat amat menyentuh hati dan mencerminkan nilai perpaduan yang menjadi kekuatan masyarakat kita.
“Semoga Aidiladha yang diraikan tahun ini membawa keberkatan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat serta terus mengukuhkan semangat kasih sayang, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sinar Zulhijjah Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Melaka di Kampung Orang Asli Air Dusun, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis serta lain-lain kenamaan.
Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menonjolkan simbol pengorbanan, keikhlasan dan kesyukuran, malah turut menjadi medan memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan serta menyantuni masyarakat melalui perkongsian rezeki.
Beliau turut memuji inisiatif dilaksanakan agensi agama Islam Melaka dalam menyantuni masyarakat Orang Asli di negeri ini menerusi pelbagai program dan penyampaian sumbangan khususnya sepanjang bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

