
PENIPUAN ‘SCAMMER’ TERUS BEREVOLUSI, RAKYAT MELAKA RUGI HAMPIR RM30 JUTA DALAM 5 BULAN
PENGKALAN BATU 30 Mei – Sejumlah hampir RM30 juta nilai kerugian telah direkodkan di Melaka sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini membabitkan jenayah penipuan dalam talian atau ‘scammer’.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, walaupun angka itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu, namun ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Sebaliknya, tegas beliau, langkah pencegahan dan kempen kesedaran perlu terus diperluas memandangkan sindiket penipuan yang berlaku semakin berevolusi, di mana teknologi yang digunakan semakin bergerak pantas bagi tujuan penipuan.
“Pendedahan berterusan perlu dilakukan bagi mendedahkan modus operandi penipuan kerana kita melihat konsep atau rentak yang digunakan ini masih sama, namun dalam konteks yang berbeza.
“Jadi, kita mahu memastikan rakyat di negeri ini lebih berani berkongsi dengan orang sekeliling bahawa apa sahaja yang berlaku harus diceritakan dan tidak boleh dipendam sendiri.
“Kebiasaannya, angka penipuan akibat jenayah dalam talian ini semakin melonjak pada empat bulan terakhir setiap tahun dan kebiasaanya ia berantaian bukan tentang penipuan semata-mata, sebaliknya akan datang dengan pinjaman dalam talian, judi ‘online’ dan seterusnya akan berkait dengan lebih banyak masalah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hab Pendidikan Digital Todak Academy (Melaka) di Taman Seri Cempaka, Peringgit, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy memaklumkan, antara kes penipuan yang banyak direkodkan di negeri ini adalah seperti tipu pembelian dalam talian, tipu pelaburan, pinjaman tidak wujud hinggalah ke ‘love scam’.
Lebih membimbangkan, ujar beliau, penipuan itu tidak hanya berlaku kepada mereka yang bekerjaya atau pesara, malah turut merebak kepada murid dan pelajar sekolah.
“Saya dimaklumkan rekod paling muda membabitkan kes penipuan adalah membabitkan kanak-kanak berusia 8 tahun yang menggunakan kad debit ibunya bagi tujuan pembelian palsu.
“Selain itu, ada juga kes membabitkan pelajar sekolah menengah yang terpedaya dengan cabutan bertuah daripada satu aplikasi sehinggakan mengalami kerugian hampir RM300,000, termasuk menjual barang kemas ibu dan neneknya,” katanya.
Justeru, beliau berkata, dengan adanya penubuhan hab pendidikan digital di negeri ini, ia diharap turut menyelitkan elemen pendedahan dan kesedaran mengenai jenayah penipuan dalam talian supaya rantaian yang berlaku dapat diputuskan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


