
PENDIDIKAN MAMPU UBAH BUDAYA NEGATIF ‘E-SPORTS’
PENGKALAN BATU 31 Mei – Budaya negatif dalam sukan elektronik atau e-sukan mampu ditangani menerusi pendidikan bersesuaian yang diperkenalkan seawal usia muda.
Itu pandangan dizahirkan Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy Muhammad Taufik Rizal Aminuddin.
Jelasnya, budaya seperti percakapan kasar dan lucah serta kutuk-mengutuk dalam permainan yang menjadi jiwa anak muda itu boleh dihentikan dengan pengenalan pembelajaran yang betul dan merangkumi norma-norma positif.
Menurutnya, ia termasuklah memberi pendedahan kepada aspek pengurusan masa, cara percakapan dan turut disulami pendidikan berkaitan kesihatan mental.
“Sebab itulah kita memperkenalkan pendidikan e-sukan kerana kita mahu memupuk anak muda di negara ini cara bermain permainan sukan elektronik yang betul, di mana ia ada ‘time management’, ‘mental health’ dan cara percakapan yang baik.
“Kita tidak mahu budaya negatif ini terus menular dalam kalangan anak muda sehinggakan ia boleh mencemari bidang e-sukan yang mempunyai potensi besar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hab Pendidikan Digital Todak Academy (Melaka) yang disempurnakan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Taman Seri Cempaka, Peringgit, di sini, pada Sabtu.
Jelas Muhammad Taufik Rizal, hab pendidikan digital itu merupakan yang pertama dibangunkan di negara ini, di mana ia bukan sekadar sebuah pusat pembelajaran seakan tuisyen, sebaliknya turut menyediakan fasiliti yang cukup selesa dan kondusif kepada pelajar.
Katanya, Melaka dipilih sebagai lokasi pertama memandangkan pihaknya telah bekerjasama bersama 19 buah sekolah dan mempunyai kira-kira 200 pelajar yang sedang mengikuti program digital yang dilaksanakan.
“Selain pendidikan e-sukan, kita turut memperkenalkan silibus seperti pembelajaran berasaskan permainan video, kecerdasan buatan robotik (AI Robotics) dan penghasilan 3D.
“Menerusi program yang ditawarkan ini, kita juga berhasrat memupuk budaya inovasi dalam kalangan anak muda, termasuklah mencipta sendiri permainan video yang boleh dijual dan seterusnya membentuk usahawan masa depan berjaya di negeri ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


