
LEBIH 10,000 ‘RIUH RIA’ DI BANDA HILIR
BANDA HILIR 31 Mei – Penganjuran program Riuh Ria @ Banda Hilir Melaka yang julung kali diadakan berjaya merekodkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang dua hari berlangsung.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad berkata, ia merupakan antara program istimewa yang dibawakan khas bersempena cuti panjang kali ini.
Jelas beliau, menerusi program itu pelbagai pengisian menarik berkonsep santai termasuk mengetengahkan keunikan warisan dan budaya negeri ini kepada pelancong yang berkunjung ke bumi bersejarah.
“Untuk dua hari penganjuran program ini kita anggarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dan ini jelas melepasi sasaran awal ditetapkan.
“Program ini diilhamkan sempena cuti panjang dan mungkin selepas ini jika ada cuti sebegini ia akan dilaksanakan kerana kita mahu pelancong yang datang ke Melaka ada aktiviti yang dapat dilakukan bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman menghadiri program Riuh Ria @ Banda Hilir di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Menurut Nasrul, menariknya pelbagai aktiviti yang disediakan bukan sahaja disertai oleh pelancong tempatan malah ia turut menarik minat pelancong dari luar negara.
“Untuk program ini beberapa acara sukan tradisional turut dipertandingkan dan menariknya bagi pertandingan Cap Teh kita menerima penyertaan daripada beberapa pelancong dari Cyberjaya dan Kedah.
“Mereka turut menyuarakan keterujaan terhadap pendekatan Kerajaan Negeri yang tampil dengan kelainan menerusi penganjuran acara pelancongan apabila mengetengahkan sukan dan permainan tradisional, kerana disifatkan sebagai sesuatu yang unik serta jarang ditemui di tempat lain.
“Menariknya juga pelancong dari Jakarta, Indonesia turut mengungguli permainan boling kelapa apabila diumumkan pemenang tempat ketiga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

