Sorting by

×

CUTI SEKOLAH RANCAKKAN PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 30 Mei – Melaka terus menjadi destinasi pilihan sempena cuti sekolah apabila beberapa produk pelancongan Melaka dibanjiri pengunjung pada hujung minggu ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati produk pelancongan seperti Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka dan muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) antara yang menjadi tumpuan pengunjung serta pelancong.

Di bawah Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) misalnya, beberapa promosi telah diperkenalkan antaranya di Melaka River Cruise percuma dua air kelapa pandan bagi pembelian lima tiket yang merangkumi dua tiket dewasa dan tiga tiket lain-lain kategori.

Pada masa sama, PPSPM turut menawarkan diskaun 10 peratus bagi pelayaran menikmati Eco Cruise Sungai Linggi dan Eco Cruise Tasik Chinchin sempena cuti sekolah ini.

IMG
MELAKA River Cruise turut menjadi pilihan utama pengunjung dan pelancong. Foto Muhammad Rasul Azli Samad
IMG
MELAKA River Cruise turut menjadi pilihan utama pengunjung dan pelancong. Foto Afiq Mustaffa

Sementara itu, Menara Taming Sari pula membawakan program sampingan menarik sempena cuti sekolah antaranya aktiviti Soopa Doopa dan Painting Bag yang diadakan pada hari ini dan esok (31 Mei) dengan tiket berharga serendah RM10 sahaja.

Selain aktiviti untuk anak-anak, keluarga yang hadir juga dapat menikmati pemandangan indah Bandaraya Melaka di atas ketinggian 80 meter dan berputar 360 darjah dengan Menara Taming Sari.

IMG
MUZIUM Istana Kesultanan Melayu Melaka antara yang mendapat sambutan hebat pelancong. Foto Afiq Mustaffa

PERZIM pula membawakan program menarik iaitu Konservator Cilik yang berlangsung selama dua hari iaitu pada hari ini dan esok di Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dengan yuran penyertaan hanya RM5.

Menerusi program ini, ia membuka peluang kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun mempelajari teknik penjagaan dan pemuliharaan artifak muzium.

Tidak cukup dengan itu, Zoo Melaka juga turut menawarkan pelbagai tarikan termasuk memberi peluang kepada pengunjung, khususnya kanak-kanak melihat dan berinteraksi dengan pelbagai haiwan comel dan menarik.

Sempena cuti sekolah ini, Zoo Melaka akan beroperasi setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang, selain bakal menganjurkan Bila Larut Malam Night Safari Zoo Melaka pada 6 Jun depan dengan tiket hanya RM10 seorang bermuka jam 8 hingga 11 malam.

6109401493652836239
SUASANA pelancong menikmati tarikan di Zoo Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Istimewanya, kesemua empat produk pelancongan itu turut menawarkan inisiatif kemasukan percuma kepada jururawat dan guru sempena Sambutan Hari Jururawat 2026 dan Hari Guru 2026 yang disambut baru-baru ini.

Inisiatif itu diperkenalkan menerusi Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pelancongan di bawah Bajet Negeri Melaka 2026 yang memberikan kemasukan percuma kepada penjawat awam atau anggota unit beruniform, manakala pasangan dan anak-anak mereka boleh menikmati tawaran diskaun 50 peratus di produk pelancongan yang disenaraikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3268
Kongsi :
Previous post AIDILADHA: NIKMAT MELAKA SAYANG RAKYAT DIRASAI WARGA SERI NEGERI