
WINGS AIR ‘KEMBALI’ KE MELAKA, TAWAR PENERBANGAN 3 KALI SEMINGGU
BANDA HILIR 31 Mei – Penerbangan terus dari Pekanbaru, Indonesia ke Melaka akan kembali beroperasi mulai 10 Jun ini apabila syarikat penerbangan Wings Air menyambung semula perkhidmatan laluan berkenaan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kekerapan penerbangan itu dijadualkan tiga kali seminggu iaitu pada setiap Rabu, Jumaat dan Ahad menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
Beliau berkata, penerbangan terus dari Indonesia ke Melaka bukan sahaja memberi impak kepada kemasukan pelancong antarabangsa, bahkan berupaya mengembangkan lagi sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.
“Bermula 10 Jun ini kita akan menerima penerbangan pertama daripada Pekanbaru ke Melaka dengan kekerapan tiga kali seminggu.
“Saya yakin dengan operasi penerbangan ini ia akan menyumbang kepada sektor pelancongan kesihatan kerana saya dimaklumkan bahawa 50 peratus penumpang dari Indonesia ke Melaka adalah menjurus kepada ‘health tourism’.
“Ini kerana di sini kita bukan sahaja mempunyai pakar tetapi juga hospital yang menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Riuh Ria @Banda Hilir yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri
Melaka Nasrul Ahmad di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Menurut Abdul Razak, Kerajaan Negeri turut optimis LTAM akan terus menarik minat lebih banyak syarikat penerbangan lain selepas melihat konsistensi permintaan penerbangan dari Singapura ke Melaka dengan Singapore Airlines (Scoot) dan terbaharu Wings Air yang kembali beroperasi.
“Saya yakin selepas kemasukan Scoot dan penyambungan semula penerbangan Wings Air ini, beberapa lagi syarikat penerbangan sedang dalam perbincangan untuk membuka laluan baharu dan mendarat di LTAM.
“Bagi perkhidmatan penerbangan Scoot yang menghubungkan Melaka dan Singapura, ia ketika ini merekodkan purata penumpang sekitar 85 peratus bagi setiap penerbangan sekali gus menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

