
BECA JADI ‘DUTA’ WRUR BANDA HILIR
BANDA HILIR 31 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir membuka tirai dengan kelainan tersendiri apabila menampilkan pengayuh beca yang menjadi duta kecil pelancongan Melaka.
Kehadiran beca dengan hiasan berwarna-warni itu juga secara tidak langsung memeriahkan lagi suasana sekitar Dewan Laksamana Cheng Ho, di sini, bersempena majlis perasmian pembukaan WRUR DUN Banda Hilir.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, inisiatif itu dilihat bukan sahaja memperkenalkan ikon pelancongan negeri malah turut dilihat berfungsi sebagai medium promosi program WRUR DUN Banda Hilir.
“WRUR DUN Banda Hilir menggunakan pendekatan berbeza dalam mendekati masyarakat dengan mengetengahkan identiti warisan pelancongan yang kebanyakan lokasi pelancongan utama juga memang dalam DUN Banda Hilir ini.
“DUN Banda Hilir merupakan DUN ke-17 bagi program WRUR ini dan diharapkan sepanjang program ini berlangsung selama seminggu hingga 6 Jun ini, ia dapat memberi banyak manfaat kepada penduduk.
“Ia termasuklah melibatkan pelbagai aspek seperti kebajikan, pendidikan, kesihatan, sukan, pembangunan komuniti dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan pembukaan program tersebut.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Ni Ching;Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berharap penduduk sekitar DUN Banda Hilir tidak melepaskan peluang memeriahkan WRUR kerana pelbagai manfaat dapat diperoleh segenap lapisan masyarakat.
“Saya difahamkan pelbagai program dan aktiviti berimpak disediakan termasuk pertukaran cermin mata percuma, pemeriksaan kesihatan, gotong-royong, pameran agensi kerajaan, sesi libat urus dan kaunter aduan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


