
IBU BAPA SOKONG PENGESAHAN UMUR DEMI KESELAMATAN ANAK DI ALAM MAYA
BANDA HILIR 31 Mei – Pelaksanaan mekanisme pengesahan umur menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) menerima sokongan ibu bapa yang melihat langkah itu sebagai usaha penting bagi melindungi kanak-kanak daripada pelbagai ancaman di alam maya.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, pengesahan identiti boleh dilakukan menggunakan MyKad, pasport atau dokumen rasmi lain yang dikeluarkan kerajaan bagi memastikan perlindungan lebih berkesan terhadap pengguna bawah umur.
Menurutnya, maklum balas diterima setakat ini menunjukkan ramai ibu bapa memahami keperluan langkah tersebut memandangkan internet kini berdepan pelbagai risiko yang boleh menjejaskan keselamatan kanak-kanak.
“Ada ibu bapa yang sangat menyokong kerana mereka faham bahawa internet mempunyai banyak isu seperti buli siber, eksploitasi seksual kanak-kanak dan juga kegiatan ‘grooming’ yang menyasarkan golongan muda.
“Semua ini merupakan kebimbangan yang sering dihadapi ibu bapa apabila anak-anak semakin aktif menggunakan platform digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Kota Melaka: Kampung Kita di Dewan Terbuka Taman Laksamana Cheng Ho, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Bagaimanapun, Nie Ching berkata terdapat juga ibu bapa yang masih mempunyai kebimbangan khususnya mengenai cara untuk menjelaskan serta mendapatkan pemahaman anak-anak berhubung keperluan pengesahan identiti tersebut.
“Memang ada ibu bapa bertanya bagaimana mereka mahu berkomunikasi atau meyakinkan anak-anak mengenai keperluan langkah ini.
“Ini menunjukkan perlindungan kanak-kanak dalam talian bukan hanya memerlukan peranan kerajaan dan platform media sosial, tetapi kerjasama serta komunikasi yang baik dalam institusi keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

