
WRUR BANDA HILIR: 90 PROGRAM, 1 MATLAMAT SANTUNI RAKYAT
BANDA HILIR 31 Mei – Hampir 90 program bakal mewarnai rogram Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita yang berlangsung 31 Mei hingga 6 Jun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen berkata, antara program tumpuan yang diadakan adalah membabitkan warga emas kawasan tersebut memiliki antara golongan berusia atas 60 tahun paling ramai di negeri ini.
Justeru, katanya, pelbagai program dan perkhidmatan akan disediakan khusus untuk warga emas, selain turut dirangka program melibatkan segenap lapisan masyarakat berbilang kaum.
“Kita turut menyediakan program kepada pelajar seperti program melancong secara percuma, selain program untuk wanita termasuk kelas memasak dan solekan yang menyasarkan golongan muda.
“Pada masa sama, pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk gotong-royong, program sukan komuniti serta usaha mempromosikan produk pelancongan, sejarah dan budaya Banda Hilir dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan setempat turut diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program WRUR DUN Banda Hilir Parlimen Kota Melaka: Kampung Kita di Dewan Terbuka Taman Laksamana Cheng Ho, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee serta Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Jelas Chau Yen, bersempena WRUR yang berlangsung selama seminggu itu, pihaknya menerima lebih 100 aduan melibatkan pelbagai isu dan keperluan penduduk.
Menurutnya, antara aduan paling banyak diterima adalah melibatkan isu infrastruktur seperti longkang dan pokok, selain pelbagai isu lain yang memerlukan perhatian serta tindakan pihak berkaitan.
“Aduan yang diterima ini mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap inisiatif mendekati rakyat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.
“Kita komited memastikan setiap aduan diberi perhatian dan disusuli tindakan sewajarnya bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.
“Jika ada keperluan atau perkara yang masih belum dapat diselesaikan, penduduk boleh datang semula sepanjang Program WRUR ini dan kita akan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

