
MELAKA IKTIRAF PERANAN MEDIA SEBAGAI SUARA RAKYAT, NEGERI
BANDA HILIR 31 Mei – Pengamal media di negeri ini diiktiraf sebagai antara watak penting dalam menyampaikan berita dan maklumat yang tepat lagi sahih kepada rakyat.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, walaupun cabaran dunia kewartawanan semakin berubah, namun peranan mereka masih sama iaitu menjadi ‘jambatan’ menghubungkan antara kerajaan dan masyarakat.
Justeru, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa dan keringat para pengamal media yang sentiasa membantu membangun dan mengangkat nama Melaka di mata dunia.
“Teruslah menjadi wartawan yang berwibawa dan membantu Kerajaan Negeri. Terima kasih kerana menyampaikan berita yang tepat, sahih dan benar kepada rakyat. Saya mendoakan semua wartawan yang bertugas di lapangan terus maju jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir di Dewan Terbuka Taman Laksamana Cheng Ho, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Ni Ching;Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin; Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong; Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan.
Dalam pada itu, Fairul Nizam turut menyarankan para pengamal media di negeri ini untuk terus mengekalkan integriti dan memainkan peranan penting sebagai penyampai berita yang bertanggungjawab.
Katanya, cabaran dunia kewartawanan yang sentiasa berubah menuntut pengamal media untuk terus meningkatkan kemahiran serta menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
“Saya harap semua wartawan melalui saluran masing-masing dapat menyampaikan informasi tepat sekali gus mendepani perubahan landskap media yang semakin dinamik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


