Sorting by

×

ANAK FELDA PERKENAL AKTIVITI REKREASI BERKUDA

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

MACHAP JAYA 1 Jun – Bermula sekadar hobi menunggang kuda, kini seorang anak Felda Bukit Bulat berjaya menjadikannya sebagai produk rekreasi komuniti yang berupaya memberi pulangan ekonomi.

Muhamad Iqmal Mahadi, 37, berkata, minatnya terhadap haiwan itu bermula sejak 2018 sebelum berkembang secara lebih serius pada 2024 dengan menjalin kerjasama bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Bulat bagi memperkenalkan aktiviti sukan rekreasi berkuda.

Menurutnya, terdapat beberapa pakej yang disediakan antaranya tunggangan santai dan bergambar serendah RM10 hingga RM15 bergantung kepada jarak.

“Selain itu, kita turut mempunyai pakej kereta kuda untuk majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan dan juga pameran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelas Muhamad Iqmal, dia kini memiliki tiga ekor kuda iaitu Saqaf, kuda jantan berusia tiga tahun selain dua lagi kuda betina yang dinamakan Bella dan Marie berusia enam dan 12 tahun.

Tambahnya, memandangkan sukan berkuda merupakan antara sunnah Rasulullah SAW, dia turut berhasrat memperkenalkan kelas berkuda khususnya untuk golongan muda pada masa akan datang.

“Selain mengetengahkan sukan sunnah, saya percaya aktiviti rekreasi ini juga dapat memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan luar bandar di kawasan ini, selain turut memberi pulangan ekonomi kepada penduduk kampung,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post WRUR DEKAT DI HATI RAKYAT BANDA HILIR
Next post KETUA HAKIM NEGARA DIKURNIA GELARAN TUN, DAHULUI PENERIMA PINGAT KEPUTERAAN AGONG