Sorting by

×

AHLI POLITIK JAGA TUTUR KATA, JANGAN SALAH GUNA KEBEBASAN BERSUARA – AGONG

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menitahkan semua pemimpin politik supaya sentiasa menjaga adab dan tutur kata serta berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sultan Ibrahim bertitah ahli politik tidak seharusnya mencetuskan sebarang provokasi terhadap isu sensitif terutama menjelang musim pilihan raya yang menjadi medan untuk menonjolkan diri bagi memikat hati rakyat.

“Elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama, kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.” titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta perwakilan asing.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah kebebasan bersuara di media sosial tidak seharusnya menjadi medan untuk menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat.

Titah Sultan Ibrahim keadaan bertambah rumit apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) disalahgunakan untuk menghasilkan berita palsu dengan suara dan gambar tiruan menerusi video ‘deepfake’ di media sosial.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita apabila gambar Seri Paduka Baginda sendiri telah digunakan dalam video dan kandungan palsu untuk mengelirukan orang ramai.

Justeru, Sultan Ibrahim menitahkan pihak berkuasa untuk terus meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan bagi membendung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima Darjah, Bintang dan Pingat Persekutuan pada tahun ini.

Yang di-Pertuan Agong mengingatkan kepada penerima bahawa anugerah berkenaan bukan untuk bermegah-megah, tetapi hendaklah dijadikan sebagai dorongan untuk terus ikhlas berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan acara sambutan hari ini.

“Saya dan isteri merakamkan berbanyak terima kasih di atas ucapan dan doa daripada seluruh rakyat yang mengiringi setiap langkah saya  dalam memikul tugas dan amanah sebagai ketua negara.

“Marilah kita berdoa, semoga negara kita Malaysia sentiasa dilimpahi rahmat, keamanan, dan kemakmuran, serta rakyatnya terus hidup harmoni, sejahtera, dan bersatu-padu,” titah Seri Paduka Baginda.

Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

827
Kongsi :
Previous post KETUA HAKIM NEGARA DIKURNIA GELARAN TUN, DAHULUI PENERIMA PINGAT KEPUTERAAN AGONG
Next post KETUA MENTERI ZAHIR UCAPAN TAHNIAH ULANG TAHUN KEPUTERAAN RASMI AGONG