
PELANCONGAN MACHAP JAYA SEMAKIN BERSINAR
MACHAP JAYA 2 Jun – Dahulunya, kawasan ini mungkin hanya dikenali sebagai sebuah kawasan kampung yang didiami masyarakat berbilang kaum, namun siapa sangka kini, nama Machap Jaya semakin dikenali dalam sektor pelancongan.
Ia bertitik tolak daripada usaha berterusan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem dalam menonjolkan potensi kawasan tersebut dengan kerjasama penduduk kampung.
Hee Sem berkata, antara lokasi yang semakin bersinar adalah di Machap Baru dan Machap Umboo apabila ia menjadi tumpuan pelancong setiap kali musim perayaan Tahun Baharu Cina.
“Ia adalah berkat usaha dilakukan komuniti bergotong-royong mengindahkan kampung dengan hiasan-hiasan menarik sehingga berjaya menggamit kehadiran pelancong dalam dan luar negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini dalam wawancara khas sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya.
Selain Machap Umboo dan Machap Baru, Hee Sem berkata, Felda Hutan Percha kini juga bakal menjadi antara kampung yang boleh menjadi tarikan pelancongan budaya yang baharu Melaka.
Jelasnya, ia memandangkan komuniti kampung itu berjaya membangunkan pelbagai tarikan antaranya batik Melaka, selain turut mempunyai khazanah berharga di Bukit Percha yang berpotensi menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki bukit.
“Malah, Felda Hutan Percha juga telah banyak mewakili Melaka dalam pelbagai pertandingan dan meraih kejayaan membanggakan.
“Jadi, saya akan membawa Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman untuk datang ke sini dan melihat sendiri potensi kawasan ini untuk menjadi tarikan pelancongan baharu sebelum mengangkatnya kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


