
WRUR BANTU MAIM KENAL PASTI KEPERLUAN BAHARU ASNAF
BANDA HILIR 2 Jun – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengenal pasti beberapa keperluan baharu membabitkan asnaf dan mualaf menerusi Ziarah Kasih sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir.
Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, lawatan ke lima rumah membabitkan dua keluarga asnaf dan tiga asnaf mualaf itu membolehkan pihaknya meneliti secara lebih dekat cabaran dihadapi penerima bantuan dalam kawasan bandar.
Katanya, kesemua keluarga yang diziarahi itu merupakan penerima bantuan MAIM termasuk membabitkan bayaran sewa rumah, bantuan keperluan asas dan bantuan kepada anak-anak.
“Menerusi Ziarah Kasih WRUR DUN Banda Hilir ini kita dapati masih terdapat beberapa keperluan tambahan yang boleh dipertimbangkan MAIM.
“Antara yang dikenal pasti ialah seperti bantuan pendidikan kerana ada di antara anak-anak asnaf kita ziarah mahu peluang melanjutkan pengajian dalam bidang kulinari, ada juga memerlukan biasiswa sukan untuk anak asnaf yang aktif bersukan serta bantuan bagi keluarga yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas ditemui pada Program Ziarah Kasih Asnaf sempena Program WRUR DUN Banda Hilir di Melaka Raya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Nasir Wahab.
Program ziarah kasih itu turut Gabungan Dakwah Malaysia, Skuad Agihan Zakat (SAZ) dan Balai Islam MAIM.
Mengulas lanjut, Mohd Hairulamin berkata, program turun padang seperti itu penting bagi pihaknya memperoleh maklumat lebih menyeluruh mengenai keadaan sebenar penerima bantuan.
“Setiap keluarga yang dilawati mempunyai keperluan berbeza, ada yang memerlukan sokongan pendidikan, bantuan ekonomi dan ada memerlukan bimbingan meningkatkan taraf hidup.
“Sebab itu lawatan ini penting supaya bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada asnaf ini dan kita akan pastikan tindakan susulan daripada permintaan mereka akan dipertimbangkan mengikut kelayakan masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

