Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: CHAU YEN FOKUS DENGAR SUARA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 2 Jun – Penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir selama seminggu memberi ruang untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen bertemu rakyat secara langsung tanpa mengira latar belakang.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, bermula 31 Mei hingga 6 Jun, pelbagai aktiviti turun padang dilaksanakan untuk mendekati masyarakat setempat.

Katanya, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan setiap peringkat masyarakat dapat disantuni serta didengar suara dan permasalahan mereka.

“Setiap hari WRUR DUN Banda Hilir dipenuhi dengan pelbagai aktiviti masyarakat termasuklah ziarah kasih bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Memang fokus pada WRUR DUN Banda Hilir ini untuk bertemu dengan rakyat mendengar aduan dan suara mereka selain mengadakan walkabout dan lawatan ke beberapa lokasi lain sekitar Banda Hilir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Ziarah Kasih Asnaf bersama MAIM sempena WRUR DUN Banda Hilir di Melaka Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Nasir Wahab.

Mengulas lanjut, Chau Yen berkata, hasil ziarah kasih bersama MAIM, pihaknya akan bersama-sama membantu keperluan asnaf dan asnaf mualaf yang dilawati.

Tambahnya, menerusi ziarah kasih itu juga beliau dapat menerima maklum balas dan meneliti aduan yang diterima bagi mencari jalan penyelesaian secara berperingkat dengan kerjasama MAIM.

“Ada dalam kalangan asnaf ditemui memohon untuk mendapatkan lokasi bagi menjalankan perniagaan, kita di Japerun Banda Hilir akan membantu mereka mencari lokasi sesuai berhampiran rumah dan sebagainya.

“Komitmen saya adalah untuk memastikan setiap isu rakyat diberi perhatian sewajarnya melalui pendekatan yang lebih dekat dan menyeluruh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

506
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN MACHAP JAYA SEMAKIN BERSINAR
Next post MELAKA RIVER CRUISE PECAH REKOD 6,500 PENGUNJUNG SEHARI